UPM Corporate Communication Division's Fan Box

Friday, October 9, 2009

An Episodic Tale of a Far-Away Mommy


Seimbas Kenangan - Episode I

submitted by Syahidatul Khafizah all the way from Urbana, Illlinois.


Setiap kali melihat zuriatku terlena, aku pasti tersenyum. Tak pernah terlintas sekalipun dalam fikiranku yang dia akan lena di apartment ini. Apartment di bumi Urbana; Yang jauh dari datuk, nenek, pakcik dan makciknya. Malah aku tak pernah bermimpi bahawa dia akan dilahirkan di sini; Di tanah Uncle Sam, bumi Amerika. Menjadi bayi musim dingin, menemani perjuanganku menimba ilmu untuk bergelar pendidik di UPM. Lalu aku tersenyum....

Perjalanan untuk melahirkan Faris di sini bukan sesingkat sehari dua. Mengait impian untuk menjejakkan kaki di tanah asing ini bukan juga angan yang aku karang semenjak kecil namun berjaya aku realisasikan. Terlalu banyak yang perlu aku hadapi sebelum sampai di tanah ini, dan terima kasihku buat semua yang mencorak aku sehingga aku sampai di mana aku berada sekarang. Antara yang paling terkesan di hati, Universiti Putra Malaysia dan isinya, yang banyak mendidik aku menjadi siapa aku hari ini.

Biarpun pengembaraan hidupku telah bermula sejak sebelum aku menjejakkan kaki sebagai warganya, UPM cukup dekat dengan hatiku. Ibu dan ayah sudah 30 tahun menabur bakti sebagai kakitangan sokongan di universiti ini. Itu belum kusebut, arwah datukku yang pernah menjadi pemandu Naib Canselor (waktu itu Tan Sri Nayan Ariffin) selepas bersara daripada perkhidmatan tentera, pakcik-pakcik dan makcik-makcikku, dekat dan jauh, yang turut sama berkhidmat di universiti ini. UPM seolah periuk nasi dan langit yang menyatukan kami.
Aku membesar dengan haruman rumput UPM yang menghijau. Menghargai setiap inci keindahan UPM yang penuh dengan ilmu yang boleh ditimba. Dari zoo mini di Fakulti Pengajian Veterinar, ayah mengajarku asas biologi dan mengenal haiwan. Dari makmal masakan di Fakulti Pendidikan, ibu mengajarku sains dalam masakan. Ibu dan ayah, walau bukan tenaga profesional di sini, mampu memberikan aku asas ilmu yang cukup berguna buat bekalku sepanjang hidup ini.

Sebagai pengunjung setia UPM, aku melihat climate UPM berubah setiap kali ditadbir oleh personaliti yang berbeza. Aku melihat bagaimana UPM berubah daripada sebuah universiti yang agung dengan keunggulan program pertaniannya, cuba untuk menjadi universiti yang unggul dalam teknologi maklumat, dan transformasi kembali kepada universiti yang meletakkan pertanian di tangga teratas. Segalanya memberikan kesan yang ketara dalam hidupku. Bagaimana perubahan menyebabkan kita matang dan menghargai apa yang mungkin kita terlepas pandang.

Asasnya, UPM menjadi tempat aku menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanakku. Zaman remajaku juga banyak dipengaruhi oleh reputasi UPM sebagai sebuah universiti, yang menyebabkan aku tak kurang ilmu mengenai pendidikan tinggi. Zaman awal kedewasaan, bila aku menjadi pelajar di UPM, yang membuatkan aku lebih kuat dan percaya pada kebolehan diri, serta pada masa ini, UPM yang memberikan aku peluang mencari rezeki dengan mencurah ilmu buat anak bangsa sendiri. Namun kenangan paling manis ialah bila UPM, menjadi tempat kasihku berpaut, hingga lahirnya Muhammad Faris Safiy di bumi Urbana yang dingin setahun yang lalu...

to be continued.

No comments:

Post a Comment