UPM Corporate Communication Division's Fan Box

Thursday, October 22, 2009

An episodic tale of a far away Mommy - part II



Bukan Anak Manja (2000-2003)


Musim panas sudah berlalu dan musim gugur mengambil tempat. Angin Urbana bertiup sepoi-sepoi bahasa... Dingin dan membuatkan aku mengetap gigi... Manakan tidak, dengan suhu yang cuma 5c, angin ini seperti boleh mengecutkan segala organ dalamanku... 'Cepatlah bas sampai....' hatiku berbisik. Walau berbumbung, hentian ini terlalu terbuka untuk angin mencucuk2 batang tubuhku yang kemas berbalut dengan sweater dan fall coat yang berat. Sambil menanti 8B Bronze yang bakal tiba seminit lagi, aku tiba2 teringat manisnya kenangan di UPM, sewaktu tahun pengajian diploma...:)
Ini pengalaman baru buatku. Selepas menjejakkan kaki di Champaign Urbana, baru aku merindui saat2 menunggu bas di bawah terik mentari. Zaman diploma yang sungguh mengasyikkan di UPM menyaksikan aku sebagai penumpang setia bas kampus yang baru memulakan perkhidmatan ulang alik dari kampus ke kolej kediaman. Waktu itu, perkhidmatan bas amat jarang. Dengan pas bulanan berharga RM15, kami bersesak2 menaiki bas sekolah yang kadangkala sudah tercabut tempat duduknya. Prinsipnya, siapa cepat, dia dapat... ada masanya, aku dan teman-teman hanya berjalan kaki dari kolej Kolej Matrikulasi atau KOMAT (Kini Kolej 13) yang jauh di ceruk Bukit Ekspo menuju ke kelas yang rata2 di Dewan Kuliah Putra (sebelum ini kami cuma memanggilnya DK1,2,3, dan 4). Selain itu, kami banyak menghabiskan masa di Fakulti Ekologi Manusia, tempat aku dan teman2 meneruskan pengajian dalam bidang Pembangunan Manusia di peringkat Diploma. Ada masa kami merungut juga, tp kehijauan UPM selalu menyejukkan hati. Berjalan sambil melintas kolej-kolej kediaman, melintas padang bola yang ada masa penuh dengan pemain-pemain bola bertauliah dan tidak bertauliah..:) kemudian melintas padang rugby yang meninggalkan banyak nostalgia zaman kanak-kanakku (Ayah merupakan bekas pemain rugby UPM dan aku kerap mengikutnya berlatih sejak kecil). Sambil-sambil menyedapkan hati, berjalan kan baik untuk kesihatan...
Aku akui, aku bukan plilihan utama bagi program tersebut. Aku diterima masuk sewaktu pengambilan kedua. Jadi, aku terlepas orientasi pelajar baru. Teman2 sebilikku, Shah, Maz dan Meen juga begitu. Kami merasa seolah diberi peluang kedua, jadi apa jua cabaran sanggup kami hadapi. Apalah sangat menanti bas yang tak kunjung tiba jika dibandingkan dengan peluang belajar di institusi pengajian tinggi seperti UPM? Semenjak kali pertama berkenalan sewaktu mendaftar di kolej, kami semakin akrab dan sentiasa bersama. Episod mengejar bas sehingga payung tertinggal di hentian bas, selipar terputus, semuanya kami kongsi bersama. Aku pasti keadaan itu tidak berlaku lagi di UPM. Perkhidmatan bas kini (sebelum aku ke US) semakin baik dan reliable. Tiada lagi episod bas tercabut kerusi, air-cond rosak dan episod merayu pakcik bas untuk menyelit walau bas sudah sarat. Bas UPM kini antara bas tercantik yang pernah kulihat.. Bangganya dengan warna korporat merah kelabu dan bas berwarna biru, membuat aku merasa beruntungnya pelajar-pelajar UPM yang baharu... Ini membuktikan perubahan dan kemajuan yang dicapai oleh UPM, terutama dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan utamanya, para pelajar.
Tahun diploma bukanlah tahun yang mudah bagiku. Ada masanya aku masih seolah anak sekolah yang hidup dengan seribu impian... Teman2 selalu mengusik kerana jarak rumahku yang terlalu dekat dengan UPM. Tak sampai 10 minit dengan motosikal, mungkin 20 minit dengan kereta, kerana memusing jauh ke Seri Serdang (atau SS nama popularnya di kalangan pelajar UPM). Jadi mereka mengecop aku anak manja yang tidak mahu berenggang dengan ibu dan ayah. Aku tak marah, tak juga bangga dengan gelaran itu. Hakikatnya, pasti Tuhan itu bijak dengan perancangan-Nya. Pasti ada sebab mengapa aku dicampak ke sini walaupun aku juga meminta untuk menyambung pengajian di tempat lain. Semua itu rezeki yang sentiasa aku syukuri. Cabaran buatku ialah membuktikan bahawa aku memang layak berada di sini..dan bukan kerana aku anak manja.
Aku selalu merasakan, program diploma di UPM banyak melahirkan senior2 yang outstanding. Ramai pensyarah yg aku kenal memulakan pengajian di peringkat diploma di UPM. Dan mereka semua berjaya. Apa yang penting, capai semua peluang yang ada di depan mata. 'Be outstanding', pesan ibu padaku waktu hari pertama di UPM sebagai pelajar.. Diploma Pembangunan Manusia yang aku ikuti mendedahkan aku pada teori2 baru dalam bidang psikologi, sosiologi dan sebagainya. Di UPM aku mula mengenal Albert Bandura, Jean Piaget, Abraham Maslow, Hertzberg, dan rakan-rakan seangkatan mereka. Aku berpeluang mempelajari ilmu yang selama ini tidak aku ketahui, termasuklah Psikologi Kanak-Kanak, Psikologi Kerja, Rundingan dan Kaunseling, Asas Keluarga dan Masyarakat, dan sebagainya. Walaupun aku bergraduat diploma dengan CGPA yang tidak terlalu tinggi, 3.40, aku bersyukur kerana ilmu yang aku timba amat bermakna untuk aku melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Bacelor (cerita selanjutnya dalam episod zaman ijazah).
Menjadi pelajar diploma bukan bererti berbulan madu kerana pengajian di universiti bukan bererti mengingat segalanya. Yang penting kita memahami konsep yang dipelajari. Aku menggunakan peluang sewaktu diploma untuk mengasah bakat dalam kepimpinan dan seni. CGPA 3.0 pada tahun 2000 adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dicapai. Selepas memperoleh GPA 3.58 pada semester ketiga, aku ditawarkan menjadi Pembimbing Rakan Siswa (RASA) di FEM. Jangan terkeliru, kami bukan kelab Rakan Siswa yang pernah diterajui oleh temanku Mohd Rashid Jamiran (kini HR Exec di Petronas), sebaliknya, kami ialah Rakan Siswa Ekologi yang juga dikenali sebagai fasilitator FEM atau rakan RASA.
Melalui senior2 di RASA, aku belajar berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan junior yang baru mengikuti program ini. Aku belajar mengenai konsep2 membimbing, kepimpinan dan cara belajar melalui bengkel2 dan sesi2 ceramah dan latihan dalam kumpulan yang biasanya dikendalikan oleh Dr. Mohd Shatar Sabran (Kini Prof. Madya), penasihat RASA. Pendekatan yang digunakan amat menambat hatiku kerana aku gemarkan konsep perkongsian yang membawa kebaikan. Kami pernah menjalani latihan di Port Dickson, untuk memantapkan kebolehan memimpin dan membimbing. Kami punyai uniform dan name tag sendiri. Saat itu, aku merasa bukan setakat bangga, malah bersyukur kerana berjaya membuktikan pada teman-teman, aku bukan sekadar anak manja yang hanya ingin dekat dengan ibu dan ayah. Ternyata UPM menyediakan peluang yang luas untukku menimba ilmu dan memperbaiki diri.
Aku juga sempat aktif dalam kelab Caklempong UPM. Ia seolah pelepas tension mingguan. Irama caklempong yang menyenangkan membuatkan hati begitu damai. Tenaga pengajar caklempong juga merupakan teman2 ibu dan ayah yang telah kukenal sejak kecil. Kata teman2, duniaku tak berkembang...Tak mengapa, mengapa merantau jauh bila yang pakar ada di depan mata,kan? Kami sempat belajar beberapa lagu dan mendapat undangan membuat persembahan di sekitar UPM dan jemputan-jemputan khas di luar UPM. Kadangkala memang tak terkejar, dengan kelasnya, dengan latihannya, tapi sayangnya kami pada caklempong membuatkan lelah tak terasa. Aku sentiasa memastikan pelajaran tidak terabai hanya kerana minat yang mendalam pada seni ini. Alhamdulillah, aku berjaya menyeimbangkan keduanya.
Sewaktu diploma juga, pertama kalinya mendapat anugerah dekan untuk 2 semester berturut2. Waktu itu, anugerah dekan diberi kepada mereka yang mendapat GPA 3.5 ke atas. Ia seolah motivasi untukku bekerja lebih keras demi kejayaan di masa hadapan. Ternyata, tak mudah untukku membuktikan bahawa aku bukan anak manja, walau jauh di sudut hati, aku memang anak busuk ibu dan ayah...:)
'Next stop, Penn & Sixth'... Aku terkejut bila pengumuman destinasi seterusnya dibuat. Oh, sudah tiba ke destinasi yg aku tujui rupanya... Aku menuruni 8B Bronze di simpang Pennsylvania & Sixth Street dan berjalan menuju ke College of Education. Sepanjang melangkah, aku masih tersenyum... Kalau aku di UPM, pasti matahari yang akan menemani langkahku. Tapi di sini, hanya angin dan kedinginan yang membuat aku selalu merindui Malaysia... Tidak mengapa, ini juga demimu,UPM.......
Sampai jumpa lagi di episod seterusnya...:)

Friday, October 9, 2009

An Episodic Tale of a Far-Away Mommy


Seimbas Kenangan - Episode I

submitted by Syahidatul Khafizah all the way from Urbana, Illlinois.


Setiap kali melihat zuriatku terlena, aku pasti tersenyum. Tak pernah terlintas sekalipun dalam fikiranku yang dia akan lena di apartment ini. Apartment di bumi Urbana; Yang jauh dari datuk, nenek, pakcik dan makciknya. Malah aku tak pernah bermimpi bahawa dia akan dilahirkan di sini; Di tanah Uncle Sam, bumi Amerika. Menjadi bayi musim dingin, menemani perjuanganku menimba ilmu untuk bergelar pendidik di UPM. Lalu aku tersenyum....

Perjalanan untuk melahirkan Faris di sini bukan sesingkat sehari dua. Mengait impian untuk menjejakkan kaki di tanah asing ini bukan juga angan yang aku karang semenjak kecil namun berjaya aku realisasikan. Terlalu banyak yang perlu aku hadapi sebelum sampai di tanah ini, dan terima kasihku buat semua yang mencorak aku sehingga aku sampai di mana aku berada sekarang. Antara yang paling terkesan di hati, Universiti Putra Malaysia dan isinya, yang banyak mendidik aku menjadi siapa aku hari ini.

Biarpun pengembaraan hidupku telah bermula sejak sebelum aku menjejakkan kaki sebagai warganya, UPM cukup dekat dengan hatiku. Ibu dan ayah sudah 30 tahun menabur bakti sebagai kakitangan sokongan di universiti ini. Itu belum kusebut, arwah datukku yang pernah menjadi pemandu Naib Canselor (waktu itu Tan Sri Nayan Ariffin) selepas bersara daripada perkhidmatan tentera, pakcik-pakcik dan makcik-makcikku, dekat dan jauh, yang turut sama berkhidmat di universiti ini. UPM seolah periuk nasi dan langit yang menyatukan kami.
Aku membesar dengan haruman rumput UPM yang menghijau. Menghargai setiap inci keindahan UPM yang penuh dengan ilmu yang boleh ditimba. Dari zoo mini di Fakulti Pengajian Veterinar, ayah mengajarku asas biologi dan mengenal haiwan. Dari makmal masakan di Fakulti Pendidikan, ibu mengajarku sains dalam masakan. Ibu dan ayah, walau bukan tenaga profesional di sini, mampu memberikan aku asas ilmu yang cukup berguna buat bekalku sepanjang hidup ini.

Sebagai pengunjung setia UPM, aku melihat climate UPM berubah setiap kali ditadbir oleh personaliti yang berbeza. Aku melihat bagaimana UPM berubah daripada sebuah universiti yang agung dengan keunggulan program pertaniannya, cuba untuk menjadi universiti yang unggul dalam teknologi maklumat, dan transformasi kembali kepada universiti yang meletakkan pertanian di tangga teratas. Segalanya memberikan kesan yang ketara dalam hidupku. Bagaimana perubahan menyebabkan kita matang dan menghargai apa yang mungkin kita terlepas pandang.

Asasnya, UPM menjadi tempat aku menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanakku. Zaman remajaku juga banyak dipengaruhi oleh reputasi UPM sebagai sebuah universiti, yang menyebabkan aku tak kurang ilmu mengenai pendidikan tinggi. Zaman awal kedewasaan, bila aku menjadi pelajar di UPM, yang membuatkan aku lebih kuat dan percaya pada kebolehan diri, serta pada masa ini, UPM yang memberikan aku peluang mencari rezeki dengan mencurah ilmu buat anak bangsa sendiri. Namun kenangan paling manis ialah bila UPM, menjadi tempat kasihku berpaut, hingga lahirnya Muhammad Faris Safiy di bumi Urbana yang dingin setahun yang lalu...

to be continued.