UPM Corporate Communication Division's Fan Box

Thursday, August 20, 2009

ENFIN, MOI REMISE DES DIPLÔMES DE L’UNIVERSITIES PUTRA MALAISIE!!!




C’EST FANTASTIQUE…
(Finally, I graduated from University Putra Malaysia!!! It’s fantastic…)


Banyak asam garam setelah lima tahun menempuhi alam universiti di UPM dan disini saya ingin berkongsi pengalaman sedikit ketika berada di kampus hijau tercinta ini. Pada mula kemasukan saya ke UPM, saya diminta untuk berdaftar di Kolej Kelima. Apabila sampai di Kolej tersebut, hati berdebar- debar bertanya dalam diri sendiri adakah saya mampu menghadapi alam berdikari memandangkan sebelum ini saya hanya berulang alik dari rumah ke sekolah. Sungguh lain suasananya berbanding di kampung apabila saya memasuki alam kampus di UPM ini namun kehijauannya tetap indah sama seperti di kampung saya.

Ramai pelajar baharu yang lain semuanya kelihatan gundah gulana namun tak dinafikan ada juga yang riang tawa walaupun terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka. Rata- rata daripada kami adalah dari pelbagai negara di Malaysia. Kami diperkenalkan antara satu sama lain selepas sesi suaikenal bersama pelajar senior.

Banyak juga pengalaman dikongsi bersama dengan pelajar senior. Mereka banyak mebimbing kami untuk lebih bersedia menempuhi alam kampus yang baru buat kami. Masih teringat lagi saya ketika memandang di tingkap jendela kolej megenangkan kampung halaman di sana namun ‘life goes on’ jadi saya berpegang kepada pepatah ‘what doesn’t kill you make you strong’ sebagai kata motivasi diri.

Pahit getir ditempuhi ketika berada di alam pengajian universiti dan pengalaman memantangkan saya untuk menjadi orang yang berguna pada masa akan datang. Apabila dilihat kembali masa yang lepas, ternyata banyak perubahan yang telah saya alami berbanding dengan sekarang. Sekarang saya lebih mempelajari erti tanggungjawab dan berdikari serta menempuhi alam dewasa dengan matang setelah banyak pengalaman dipelajari di kampus UPM ini.

Tersenyum semula apabila melihat gelagat budak kampus menunggu bas untuk ke kuliah kerana suasana tersebut adalah sama seperti yang dialami oleh saya ketika berada dalam alam pegajian di UPM pada suatu ketika dulu.

Tanggal 9hb Ogos 2009 adalah detik terakhir saya memegang gelaran mahasiswa Universiti Putra Malaysia. Sudah semestinya kegembiraan tidak terucap setelah penat bertungkus- lumus selama lima tahun belajar di sini namun kesan UPM akan selamanya terpahat di dalam diri saya.

Saya tidak akan berdiri teguh disini jika tidak kerana UPM yang telah membentuk keperibadian dan sahsiah diri saya sebagai manusia yang berguna dan tidak syaklah lagi bahawa UPM adalah pilihan terbaik untuk saya menyambungkan lagi pengajian dalam peringkat Master pada suatu hari nanti…Merci buhkoo UPM!!! je t’aime.

With Love,
Faisal (Mohonnn...)

Monday, August 17, 2009

You bet, we're on the Transformers wagon.


Here's an inspiring writings by one of our powerhouse... we're ready to roll out, alright.

TRANSFORMASI UPM:

A WORLD LEADER IN NEW TROPICAL AGRICULTURE


Kalau menyebut nama UPM, masih ramai yang tersasul dan membuat tanggapan bahawa UPM ialah Universiti Pertanian Malaysia walaupun pada hakikatnya telah berlaku pertukaran nama UPM kepada Universiti Putra Malaysia pada tahun 1997. Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah legasi pengajian tinggi pertanian yang unggul pada suatu masa dahulu dan sehingga hari ini UPM terus memberi sumbangan cemerlang kepada pembangunan modal insan dalam sektor pertanian di Malaysia. Mungkin kerana faktor tersebut, UPM masih dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia. Fungsi pengajaran dan penyelidikan pertanian telah lama sebati dengan UPM sejak tahun 1971 lagi kerana ketika itu UPM dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia. Walaupun nama Universiti Pertanian Malaysia ditukarkan kepada nama Universiti Putra Malaysia, universiti yang banyak melahirkan tenaga profesional dalam bidang pertanian ini terus memberi fokus utama kepada pembangunan pertanian khususnya pertanian moden. Hubungan, fungsi dan komitmen UPM dalam bidang pertanian bukan sahaja digarapkan dalam kurikulum pengajian, teras utama aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan profesional, malah ia juga dapat dibuktikan menerusi program pengkayaan ilmu yang dijana oleh 7 daripada 16 fakulti yang mempunyai disiplin pertanian dan bioteknologi di UPM. Tujuh buah fakulti tersebut ialah Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan, Fakulti Sains Biomolekul dan Bioteknologi, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Perubatan Veterinar dan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan. Lima daripada 9 institut penyelidikan yang ditubuhkan juga adalah berfokuskan kepada penyelidikan pertanian. Institut yang dimaksudkan ialah Institut Biosains, Institut Pertanian Tropika, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Institut Pengajian Dasar Makanan dan Pertanian dan Institut Penyelidikan Produk Halal. Selain daripada institut dan Fakulti, aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan pertanian di UPM telah diperkukuhkan oleh aktiviti pengembangan yang dilaksanakan oleh Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Perkhidmatan Profesional.

Memandangkan pendekatan pertanian dahulu dan kini mengalami evolusi yang begitu ketara dan disebabkan pula kurangnya publisiti terhadap aktiviti pertanian yang dilaksanakan, maka UPM sedang berusaha meningkatkan imej dan reputasinya sebagai universiti yang mempunyai sumber kepakaran dan kekuatan dalam ilmu pertanian. Masyarakat tidak mahu imej dan reputasi UPM dalam bidang pertanian sebagaimana disanjung pada 30 tahun yang lalu terhakis begitu sahaja. UPM merupakan satu-satunya Universiti Penyelidikan di negara ini yang mempunyai program pengajian yang mengkhususkan kepada bidang pertanian seperti program Diploma Pertanian, Diploma Perhutanan, Diploma Perikanan, Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, Bacelor Sains Pertanian, Bacelor Sains Hortikultur, Bacelor Sains (Perniagaantani), Bacelor Pertanian (Akuakultur), Bacelor Pertanian (Penternakan), Bacelor Sains Perhutanan, Bacelor Sains dan Teknologi Perkayuan dan Doktor Perubatan Veterinar. Bagi program pascasiswazah yang ditawarkan oleh UPM, lebih daripada 36% program pascasiswazah yang dikendalikan oleh Sekolah Pengajian Siswazah ialah program yang berkaitan dengan bidang pertanian. Ini menunjukkan bahawa aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan oleh UPM juga sebahagian besarnya berteraskan kepada bidang pertanian. Senario semasa menjelaskan perkembangan pengajaran dan penyelidikan yang berlaku di UPM akan menyokong kepada pembangunan ilmu pertanian dan melahirkan golongan profesional dalam bidang pertanian yang sekaligus akan mencorak sektor pertanian negara.

Selari dengan pelan transformasi yang dibentuk untuk memperkukuhkan matlamat UPM dalam bidang pengajian dan penyelidikan pertanian, UPM beriltizam menjadi Peneraju Dunia Dalam Pertanian Tropika Baharu ataupun A WORLD LEADER IN NEW TROPICAL AGRICULTURE. Hasrat ini dilihat tepat pada masanya iaitu selari dengan cadangan perubahan yang akan dilaksanakan oleh UPM terhadap pembangunan pertanian dan berharap ia akan menjadi kenyataan pada tahun 2015. Apa yang UPM lakukan kini ialah anjakan paradigma terhadap aktiviti penyelidikan, perkhidmatan profesional dan pengembangan pertanian. Anjakan paradigma ini merupakan intipati yang terkandung di dalam Pertanian Tropika Baharu. Pertanian Tropika Baharu merujuk usaha-usaha UPM terhadap bidang pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi. Usaha yang dijana oleh UPM ke arah Pertanian Tropika Baharu adalah bertepatan dengan perkembangan yang berlaku pada peringkat global, khususnya isu-isu yang berkaitan dengan perubahan cuaca dunia yang telah membawa kepada kesan pemanasan global, kemusnahan sumber alam dan juga memberi impak kepada keselamatan makanan. Dalam hal ini, sektor pertanian memainkan peranan penting untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat. Sebagai institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, UPM akan terus menggunakan sumber kepakaran yang sedia ada untuk meneroka lebih banyak kajian dalam sektor pertanian terutamanya bagi menghasilkan penemuan inovasi dan teknologi baharu untuk memaksimakan hasil pertanian makanan negara. Melalui pendekatan ini, UPM dapat memberikan sumbangan bukan sahaja kepada perkembangan inovasi pertanian tetapi juga dapat meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan dalam negara.

UPM mendefinisikan Pertanian Tropika Baharu sebagai pengeluaran dan pengurusan biosumber tropika yang melibatkan teknologi saintifik dan kaedah ekonomi tanpa menyebabkan kerosakan biodiversiti, ekosistem, kesihatan dan kebajikan manusia. Dengan kata lain, bidang pertanian yang dibangunkan bukan lagi pertanian ditakuk lama, tetapi pertanian yang berasaskan inovasi dan berupaya memberi dampak besar kepada sektor ekonomi negara. Bidang pertanian yang sedang diterokai oleh UPM juga adalah hasil kesepaduan pelbagai disiplin yang dijana untuk memenuhi keperluan dan rangkaian dalam aktiviti pertanian iaitu penanaman, pembungkusan, pemprosesan, pemasaran dan sebagainya. Pertanian Baharu juga ialah simbol Pertanian Adalah Perniagaan dengan merujuk usaha pembangunan penyelidikan dalam bidang pertanian yang diperluaskan melalui komponen agro-bioteknologi dan nanoteknologi. Ini menunjukkan bahawa UPM menghasilkan inovasi pertanian dengan cara yang berlainan. Sekiranya amalan pertanian dahulu ialah pertanian di ladang, tetapi kini pertanian yang dilaksanakan oleh UPM adalah melalui kaedah yang lebih strategik bagi menghasilkan faedah maksima kepada masyarakat dan secara tidak langsung dapat memperbaiki industri pertanian tempatan. Ini merupakan inovasi yang sedang diterajui oleh UPM dan mempunyai nilai tambah tinggi terhadap perkembangan pertanian.

UPM menggariskan empat elemen penting yang terkandung di dalam pelan transformasinya sebagai Peneraju Dunia Dalam Pertanian Tropika Baharu iaitu elemen yang memberi penekanan utama kepada “Baharu” dan elemen tersebut ialah business driven, technology oriented, environmental friendly dan sustainable development. UPM mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa dengan keupayaannya melaksanakan program penyelidikan yang merentasi pelbagai disiplin dapat menghasilkan output penyelidikan pertanian yang berimpak tinggi khususnya yang mempunyai empat elemen tersebut. Enam bidang tujahan penyelidikan yang sedang dilaksanakan oleh UPM pada masa ini ialah pertanian, makanan, perhutanan dan alam sekitar, kesihatan, sains sosial dan sains, kejuruteraan dan teknologi. Berdasarkan kepada kekuatan penyelidikan, UPM sedang memberi fokus penting kepada lapan bidang utama penyelidikannya iaitu Pengeluaran Tanaman Makanan, Tanaman Perladangan, Pengeluaran Penternakan dan Akuakultur, Bio-kesihatan, Pengeluaran Produk Bio Nilai Tambah, Tenaga Boleh Baharu Alternatif, Produk dan Perkhidmatan Perhutanan dan Produk Halal. Bagi UPM, semua aktiviti yang berteraskan kepada Pertanian Tropika Baharu perlu berlandaskan kepada empat elemen tersebut supaya aktiviti yang dilaksanakan dapat merealisasikan Pertanian Untuk Kehidupan, Pertanian Untuk Kesejahteraan, Pertanian Untuk Ekonomi Negara dan Pertanian Sebagai Perniagaan.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UPM bukan sahaja bertanggungjawab mengeluarkan graduan yang terlatih dalam bidang sains pertanian, malah berusaha meneroka pelbagai penemuan baharu dalam bidang pertanian. Melalui kepakaran ahli akademik yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing, UPM telah menghasilkan produk penyelidikan pertanian berkualiti tinggi bermula daripada penggalak pertumbuhan tanaman, vaksin hinggalah kepada kit pengesan virus. Justeru, usaha yang sedang dijalankan oleh UPM melalui pelan transformasi yang holistik untuk meningkatkan kegemilangan pertanian sudah pasti akan memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada masyarakat. UPM juga sedang mengambil pelbagai inisiatif dan langkah proaktif untuk menterjemahkan aktiviti pertanian yang dilaksanakan oleh tenaga pakar universiti kepada masyarakat supaya aktiviti pertanian yang dijalankan oleh UPM memberi impak berkesan kepada usaha pemodenan sektor pertanian.


We dream big, and we dare you to do the same...